comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa anak sepuluh dipenjara 14 tahun miliki dadah

Tertuduh, Sisar Jainal dihukum 14 tahun penjara kerana memiliki dadah methamphetamine seberat 41.56 gram. – FOTO: NSTP

TAWAU: Bapa kepada sepuluh orang anak dihukum 14 tahun penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamine, Julai tahun lalu.

Tertuduh, Sisar Jainal, 58, yang juga pendatang asing tanpa izin warga Filipina membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dan fakta kes dibacakan dalam bahasa Bajau oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah merbahaya jenis methamphetamine seberat 41.56 gram, di atas satu titian di Kampung Sri Aman, Semporna, kira-kira 10.15 pagi pada 2 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan 10 sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad memohon hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu, merayu hukuman ringan mengambil kira faktor ramai tanggungan selain tidak dikenakan hukuman sebat kerana usia sudah tua.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman dijalankan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 2 Julai 2023 dan tertuduh perlu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan penghantaran pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Loading...
Terkini