comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa buntu, Putra Muhammad Irfan sudah 3 hari hilang 

KOTA KINABALU: Seorang bapa buntu apabila kehilangan anak lelakinya Putra Muhammad Irfan, 19, sejak tiga hari lalu, masih tiada sebarang petunjuk.

Putra Muhammad Irfan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di UUC, Telipok, di sini, 14 Mac lalu.

Lebih mengejutkan apabila guru kelas pelajar tingkatan enam itu mendakwa, remaja terbabit tidak pernah hadir ke sekolah sejak 11 Mac lalu.

Ruzlee Amirbak, 54, berkata, satu laporan polis sudah dibuat oleh ibu pelajar berkenaan namun sehingga kini belum menerima sebarang maklumat.

“Kami cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak pernah dijawab. Kami sekeluarga buntu dan sudah membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan mencarinya.

“Anak saya seorang yang pendiam dan tidak mempunyai kenalan yang rapat kerana dia tidak bergaul dengan sesiapa,” katanya.

Ruzlee berkata, kali terakhir anak lelakinya itu dilihat adalah ketika keluar daripada rumah untuk ke sekolahnya di Kolej Tingkatan Enam, Manggatal.

Katanya, sebagai seorang bapa, kebimbangan itu tetap ada dan pelbagai usaha untuk mencari Irfan sudah dilakukan termasuk menghubungi kawan-kawannya tetapi masih menemui jalan buntu.

Sehubungan itu, Ruzlee memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada menemui anak lelakinya itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 010-9662344 atau 014-3959887.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini