Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Seorang bapa saudara yang menghempas bayi berusia 40 hari ke atas lantai dan mencampak kakaknya berusia 3 tahun dalam kejadian di sebuah pangsapuri Sungai Pinang, di sini, petang semalam telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata suspek berusia 28 tahun ditahan selepas menerima aduan daripada bapa mangsa, 31, malam semalam.
Artikel berkaitan: Bapa saudara hempas bayi 40 hari ke lantai, campak budak 3 tahun dari tingkat 1
“Pengadu berkata adik iparnya mencampak anaknya berumur 3 tahun dari rumah mereka di tingkat 1 ke bawah blok kediaman. Mangsa patah kaki kiri dan cedera pada mulut.
“Seorang lagi anak perempuan pengadu berumur 40 hari juga telah dibaling oleh suspek di atas lantai rumah dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, menyebabkan mangsa mengalami pendarahan otak. Kedua-dua mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Semasa kejadian, suspek berada dalam keadaan tidak berpakaian dan cedera di pergelangan tangan kirinya akibat dikelar oleh dirinya sendiri. Menurut ahli keluarga, suspek mengalami gangguan mental sejak sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini ahli keluarga dilaporkan berkata kedua-dua mangsa berada di rumah nenek mereka ketika ibunya masih berpantang di rumahnya.
ACP Soffian berkata Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut telah menahan suspek di hospital selepas dibawa oleh orang awam untuk menerima rawatan.
Pemeriksaan mendapati dia tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.
Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama 7 hari sehingga 9 Ogos dan kini ditahan di Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.