comscore
Tumpuan :
Nasional

“Bapa seorang berdisiplin, berdedikasi berkhidmat kepada rakyat” – Anak

Mendiang M Karupaiya. -Foto: NSTP

KULIM : Mendiang M.Karupaiya yang merupakan penyandang dan calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Padang Serai adalah seorang yang selalu mendedikasikan masanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Anak sulungnya, K.Sataisilan berkata pengalaman Karupaiya sebagai sorang anggota tentera berpangkat Pegawai Waran I juga menjadikan mendiang seorang yang sangat berdisiplin dalam hidup dan khidmat baktinya kepada rakyat.

“Beliau seorang yang sangat berterus-terang dan berdisiplin. Beliau banyak menghabiskan masa membantu penduduk Padang Serai sama ada ketika turun padang atau di Parlimen.

“Bahkan nasihat terakhirnya pada kami supaya berkerja untuk parti dan memastikan parti akan menang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Cekur Manis, di sini petang tadi.

Sataisilan mengesahkan mendiang bapanya sebelum ini pernah mengalami masalah jantung dan dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk rawatan.

Karupaiya dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada 14 Nov selepas rebah ketika berkempen dan meninggal dunia pada 2.27 petang tadi di Hospital Kulim.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mendiang menghadapi saingan enam penjuru menentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Datuk C.Sivaraj (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar yang hadir memberikan penghormatan terakhir berkata pemergian mendiang yang sering memberi kata-kata semangat kepada ahli PKR memberi kesan mendalam kepada parti.

“Berpegang kepada kata-kata mendiang, kami ingin memenangkan calon-calon kami kerana beliau adalah salah seorang yang paling kuat memberi semangat.

“Beliau sering menyatakan kami akan berjaya dalam perjuangan menegakkan keadilan dan membawa masa depan lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Nurul Izzah berkata PKR terlebih dahulu akan memastikan kebajikan keluarga Karupaiya dan menyerahkan kepada pihak kepimpinan parti memutuskan apa langkah seterusnya untuk pilihan raya di Parlimen berkenaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini