comscore
Tumpuan :
Nasional

Bar emas hadiah terakhir untuk ibu  

Khalijah Man menunjukkan gambar anak bongsunya, Mohammad Khairie Shaari, yang ditemukan lemas di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO: NSTP

LANGKAWI : Pemuda yang ditemukan lemas di Pantai Tanjung Rhu petang semalam sempat menghadiahkan bar emas kepada ibu tersayang.

Mohammad Khairie Shaari, 32, anak bongsu dari tiga beradik memberi hadiah itu kepada ibunya, Khalijah Man, 68, yang dibeli hasil duit gaji pertamanya bekerja sebagai Eksekutif Runcit di sebuah kedai emas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Arwah memang manja dan rapat dengan saya, apabila bercakap selalu membahasakan dirinya sebagai ‘adik’ kerana dia anak bongsu, manakala dua lagi anak saya adalah perempuan.

“Saya tidak pasti berat sebenar bar emas yang diberikan itu, tapi akan simpan hadiah istimewa itu untuk selama-lamanya dan sebagai kenangan sepanjang hayat,” katanya.

Khalijah yang juga ibu tunggal selepas kematian suami empat tahun lalu berkata, dia mengetahui tragedi yang menimpa anak bongsunya itu selepas anak sulungnya menerima panggilan daripada polis pada 6.15 petang kelmarin

“Kami anak beranak terkejut dengar berita mengatakan dia tenggelam dan hilang ketika mandi di Tanjung Rhu, selain polis meminta pengesahan berkaitan kereta warna kuning yang ditemukan berhampiran kawasan kejadian.

“Arwah tiada masalah kesihatan, malah dia dengan suara ceria ada menelefon  saya sebaik tiba di Pantai Tanjung Rhu untuk mandi berseorangan kira-kira 5.45 petang kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat pekerja sebuah kedai emas berkenaan, petang semalam.

“Mayat mangsa ditemui lebih kurang 250 meter dari tempat kejadian lemas dilaporkan pada jam 6.55 petang dan pengecaman mayat telah dibuat oleh ibu mangsa.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini