
Oleh: Mohd Ishak abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang pensyarah perubatan kerugian RM237,000 selepas barang kemas miliknya didakwa dicuri oleh adik angkat suaminya.
Mangsa, seorang wanita berusia 49 tahun, mula menyedari kehilangan barang kemas itu tiga hari lalu, meskipun kejadian dipercayai berlaku sejak November tahun lalu.
Berikutan itu, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 2.04 petang kelmarin.
Kejadian dilaporkan berlaku di kediaman mangsa di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Nerus.
Sebelum laporan polis dibuat, mangsa bersama suami, empat anak mereka, seorang pembantu rumah, dan adik angkat suami telah cuba mencari barang kemas yang hilang di dalam rumah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, suspek yang berusia 31 tahun ditahan kira-kira jam 3.00 pagi semalam di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.
“Ketika disoal siasat, suspek mengaku mencuri dan menjual barang kemas tersebut. Suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah kedai emas di Kuala Terengganu, di mana polis merampas sebuah buku resit serta seketul logam berwarna kekuningan yang disyaki emas,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Azli, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda, atau sebat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.