
KLANG: Satu laporan polis dibuat seorang wanita selepas menyedari bungkusan barang yang dihantar oleh syarikat pembelian dalam talian dikebas pencuri dalam satu kejadian di Telok Gadong di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata barang keperluan rumah yang dibeli secara dalam talian dan dihantar oleh syarikat terbabit hilang, kira-kira jam 6 petang hari kejadian.
“Siasatan mendapati barangan berkenaan dihantar ke rumah pengadu antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, diletakkan di atas tembok pagar rumah pengadu. Sebaik mengetahui barang itu tiada, mangsa membuat semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Kira-kira jam 5.26 petang hari berkenaan, rakaman CCTV menunjukkan kereta jenis Perodua Kancil berwarna biru gelap berhenti di depan rumah pengadu. Penumpang kereta keluar lalu mengambil barangan berkenaan dan melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kes dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang berusaha mengenal pasti suspek yang terbabit selain bantuan daripada rakaman CCTV di rumah mangsa dan menjangka dapat membuat tangkapan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang individu yang menaiki kereta bertindak mengambil barangan yang diletakkan di atas pagar sebuah rumah sebelum melarikan diri.