comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Barangan seludup termasuk rokok bernilai RM2.4 juta dirampas JKDM Kelantan


KOTA BHARU: Kegiatan pengedaran dan penjualan pelbagai barangan seludup termasuk rokok dan arak membabitkan nilai keseluruhan RM2.44 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Operasi Darat dalam tempoh seminggu sehingga Jumaat lalu.

Hasil operasi yang dilakukan di sekitar Gua Musang dan Jeli membabitkan 17 kes itu membawa kepada penangkapan seramai 15 individu termasuk tiga warga asing berusia antara 20 hingga 49 tahun.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, antara barangan yang dirampas adalah rokok, arak, beras, diesel, mercun dan lain-lain lagi.

Katanya, daripada operasi itu, rampasan rokok adalah yang terbesar iaitu 3.23 juta batang membabitkan nilai termasuk cukai sebanyak RM2.38 juta.

“Rampasan rokok dilakukan di Lebuhraya Timur Barat dekat Jeli pada 2 Julai lalu jam 3.40 petang. Rampasan dilakukan hasil risikan pihak kastam dengan kerjasama unit peronda polis.

“Menerusi rampasan itu, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai dalam perjalanan membawa bekalan terbabit ke Perak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal berkata, modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barangan dagangan terbabit dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai.

“Barangan terbabit akan dimuat menggunakan sampan atau bot sebelum diedar menggunakan lori atau kereta untuk pasaran Kelantan dan luar negeri.

“Modus operandi bagi minuman keras pula ialah membeli dengan pengedar tempatan secara haram sebelum dijual secara runcit kepada penduduk tempatan atau warga asing,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Justeru, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan lain-lain serta mengingatkan masyarakat supaya tidak terbabit dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini