comscore
Tumpuan :
Nasional

Tukar Barangan Terpakai Kepada Barang Dapur

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan kios satu komuniti satu kitar semula 1C1R bertujuan membudayakan amalan kitar semula dengan pemberian insentif barangan keperluan asas bagi setiap barangan kitar semula kepada komuniti.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pelaksanaan program itu dapat melahirkan komuniti setempat yang bersikap memelihara dan memulihara alam sekitar.

Bagi tujuan itu, DBKL menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Berjaya Enviro Parks Sendirian Berhad.

Usaha itu secara tidak langsung meningkatkan kesedaran kepada komuniti berkenaan amalan kitar semula bermula di rumah.

“Inisiatif DBKL untuk membuat satu usaha supaya sisa pepejal di kawasan perumahan awam ini boleh dikitar semula, maka dengan itu berlaku.. sisa pepejal ini akan kuranglah, kita bawa ke tempat pelupusan sisa pepejal di Bukit Tagar. Apabila kurang, maka kos yang kita bayar kepada syarikat yang mengurus sampah iaitu SW Corp jadi kurang.” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Pelancaran Kios 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) di ibu negara.

Jelasnya, pihaknya membayar hampir RM300 juta bagi pengendalian dan pengurusan sisa pepejal setiap tahun di Kuala Lumpur.

Menerusi program ini katanya, pihak dapat mengurangkan perbelanjaan itu sekurang-kurangnya 2 peratus setahun.

Seterusnya, penjimatan itu dapat digunakan bagi menyediakan dana untuk kemudahan lain yang lebih berfaedah untuk kegunaan warga kota.

Oleh itu, beliau berharap sokongan daripada semua pihak termasuk penduduk bagi menjayakan program ini.

Mengulas berkenaan MOU bersama BEP, Datuk Seri Mahadi berkata pihak BEP akan membantu dari segi pemberian insentif bagi program-program alam sekitar yang dilaksanakan oleh pihak DBKL, selain merupakan satu contoh jalinan kerjasama strategik antara pihak DBKL dan syarikat swasta terutama dalam program berkaitan alam sekitar.

Kios 1C1R di Perumahan Awam Seri Kota, Bandar Tun Razak merupakan kios statik yang mampu mempermudahkan komuniti setempat untuk menghantar barang kitar semula.

Antara barangan keperluan asas yang boleh ditukar seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan susu.

Loading...
Terkini