comscore
Tumpuan :
Nasional

Barisan EXCO dirombak kerana kepadatan tugas – kata MB Perlis

Mohd Shukri (duduk, tengah) bersama barisan EXCO PN Perlis. – Foto: NSTP

KANGAR: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dirombak kerana terdapat EXCO yang mempunyai tugas padat berdasarkan portfolio dipegang, menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Jelas beliau, kepadatan tugas itu menyebabkan mereka sering berulang alik ke Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat dan boleh merencatkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya rasa kerajaan yang baharu menjangkau setahun ini akan ambil ruang yang ada untuk menyesuaikan diri dengan portfolio yang diberikan.

“Malah, EXCO baru dan lama juga akan teruskan prestasi baik dalam meingkatkan kemajuan negeri khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 tahun depan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Terdahulu, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail yang sebelum ini bertugas sebagai EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana negeri digugurkan daripada barisan EXCO Perlis.

Beliau digantikan dengan ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil yang akan memegang portfolio membabitkan perumahan, kerajaan tempatan, pembangunan sumber manusia dan pembasmian kemiskinan.

Manakala, ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak pula diangkat sebagai EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Wilayah Ekonomi Baharu dan Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif.

Sementara itu, Fakhrul Anwar ketika ditemui berkata, beliau melihat penggugurannya  sebagai amalan biasa untuk Menteri Besar.

“Sejujurnya, saya tiada masalah dan ucap terima kasih (Menteri Besar) kerana beri peluang untuk timba pengalaman selama setahun dan banyak perkara yang saya pelajari khususnya hal berkaitan pentadbiran negeri,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini