IPOH: Seorang daripada pelancong warga Jepun yang cedera akibat kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dengan treler di Kilometer (KM) 230.3 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Taiping, tengah hari kelmarin, disahkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa wanita berusia 73 tahun itu meninggal dunia pada jam 9 malam kelmarin ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan pada bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, polis telah mengambil sampel air kencing dan darah pemandu bas berusia 41 tahun itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita dimaklumkan bahawa pemandu bas persiaran itu adalah individu dikehendaki polis berdasarkan laporan sebelum ini, namun siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.
Kelmarin, 13 mangsa termasuk 11 pelancong dari Jepun cedera apabila bas persiaran dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam kejadian itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada dua warga tempatan yang juga pemandu bas dan pemandu pelancong, selain tiga lelaki serta lapan wanita warga Jepun. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.