comscore
Tumpuan :
Nasional

Bas Thailand kini dibenar bawa pelancong ke seluruh Malaysia – MOT

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke beramah mesra dengan orang ramai yang menggunakan lapangan terbang ketika meninjau Terminal baharu susulan projek pembesaran dan naik taraf fasa satu sudah siap di LTSIP hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Bas dari Thailand kini dibenarkan memasuki semua negeri di Malaysia dengan membuat permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, kebenaran kemasukan itu tidak terhad kepada negeri berhampiran sempadan sahaja.

“Perkara ini sudah diputuskan menerusi mesyuarat baru-baru ini dan mana-mana bas dari Thailand dibenarkan masuk. Mereka hanya perlu membuat permohonan kepada APAD sebelum permit sementara dikeluarkan.

“Bagaimanapun, bas dari Thailand terbabit perlu mengemukakan maklumat tertentu termasuk pakej pelancongan yang diambil, bilangan penumpang serta lokasi penginapan.

“Yang kita sekat adalah van dari Thailand kerana dibimbangi mereka masuk ke Malaysia dan akan mengambil penumpang menyebabkan industri pelancongan kita terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan fasa satu projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan bagi membincangkan isu sekatan kemasukan bas dari Thailand ke Kelantan.

Susulan pertemuan yang dibuat Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi lampu hijau apabila membenarkan bas Thailand masuk ke Kelantan bermula bulan lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini