comscore
Tumpuan :
Nasional

Bau busuk di Sungai Selangkah disyaki daripada pelepasan air kumbahan mentah 

FOTO: NSTP

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan pencemaran bau Sungai Selangkah di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort di sini, bukan berpunca daripada kilang yang beroperasi di sekitar kawasan itu.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya mengesyaki terdapat pelepasan air kumbahan mentah dari rumah pam yang rosak berhampiran kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berlaku pengaliran keluar daripada rumah pam berkenaan yang memasuki terus ke sungai terbabit.

Katanya, jabatan itu sudah meminta pengurusan rumah pam berkenaan menjalankan usaha membiak pulih kerosakan dengan serta merta bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Mereka juga diminta untuk mengemukakan laporan kerja-kerja pembaikan manakala pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga dimaklumkan bagi tindakan susulan mengikut bidang kuasanya,” katanya ketika dihubungi BH.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) zon Tanjung Puteri, Omar Ponijan berkata, kejadian berlaku apabila rumah pam di Rumah Pangsa Air Biru tidak dapat berfungsi dengan baik akibat kerosakan mesin jana kuasa.

Beliau berkata, buat masa ini, kerja pembaikpulihan sedang dijalankan manakala tahap pencemaran bau di Sungai Selangkah semakin pulih dan warna sungai juga semakin baik.

“Kami menerima maklum balas daripada penduduk yang tinggal berhampiran sungai bahawa keadaan sudah semakin baik.

“Kami berharap kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa depan kerana ia menjejaskan keselesaan ramai,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, dilaporkan kira-kira 100 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Selangkah di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort di sini bimbang dengan masalah pencemaran bau yang berulang kebelakangan ini.

Penduduk yang menghuni di kira-kira 30 kediaman terletak pada jarak 100 meter daripada sungai berkenaan mendakwa masalah itu bukan baharu dan kini semakin serius yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan ramai terutama warga emas dan kanak-kanak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini