comscore
Tumpuan :
Nasional

Baucar buku pelajar IPT: Fasa pertama diagih mulai esok

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) akan dilaksanakan secara berfasa mulai esok hingga 31 Disember depan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, bagi fasa pertama, penyaluran akan dilaksanakan melalui kaedah e-baucar dan 50,000 e-baucar ditawarkan sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

“Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT – Graduate Reference Hub for Employment and Training (kendalian KPT) iaitu https://great.mohe.gov.my, bermula 1 Jun 2024 (Sabtu) jam 10 pagi,” menurut kenyataan itu.

Jelas KPT, penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara atas talian di platform BookCapital, https://bookcapital.com.my.

Setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi sahaja.

Baki baucar buku selebihnya akan disalurkan pada fasa berikut dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

“Pemilihan BookCapital di bawah kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga merupakan penganjur bersama PBAKL 2024 bagi memudahkan pengguna sepanjang berlangsungnya pesta buku ini. Penggunaan platform lain akan digunakan pada fasa berikutnya,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KPT menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar pembelian buku semalam, yang disifatkan satu langkah tepat dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat membugar budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar IPT.

Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT warga tempatan.

“KPT berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca, malah turut bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini