comscore
Tumpuan :
Nasional

Bawa masuk tenaga pengajar Singapura sebagai sukarelawan – PM 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan bukan mahu melantik guru bahasa Inggeris dari Singapura sebaliknya membawa masuk tenaga pengajar dari republik itu sebagai sukarelawan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan diibaratkan skim bantuan dari segi diplomasi antara negara bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

“Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah. Apa yang salah? Salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru bahasa Inggeris dari Singapura. Itu salah.

“Yang saya bicarakan dengan Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong) ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Selasa lalu, Anwar mengadakan perjumpaan bersama Wong yang berada di negara ini sempena lawatan kerja dua hari, antara lain berbincang mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara negara.

Ini adalah lawatan sulung Wong selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Republik itu pada 15 Mei lalu.

Dalam sidang media selepas pertemuan itu, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin berbincang tentang kemungkinan Singapura boleh mempertimbang permintaan ‘kecil’ Malaysia dengan menghantar guru untuk mengajar bahasa Inggeris atau beberapa mata pelajaran lain ke banyak daerah di negara ini.

Menurut Anwar, beliau amat berbesar hati apabila Wong bersedia untuk bersetuju dengan perkara ini secara positif.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan itu sebagai inisatif untuk menjalinkan hubungan lebih baik antara negara jiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini