comscore
Tumpuan :
Nasional

Bawa pulang pasukan perubatan dari Rafah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan beberapa negara lain untuk membawa pulang enam anggota pasukan perubatan Malaysia dari Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy yang terkandas di Rafah, Gaza sejak 1 Mei lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, keselamatan pasukan yang merupakan sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah itu adalah keutamaan Kerajaan Malaysia.

“Kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan Qatar, berdasarkan perbincangan terkini yang diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, Lolwah Rashid Al-Khater,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Luar juga bekerjasama dengan Republik Mesir dan Kerajaan Jordan bagi memastikan anggota pasukan perubatan terbabit dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, adalah penting operasi menyelamat dijalankan dengan cekap dan lancar melalui saluran diplomatik memandangkan situasi yang tegang dan cepat berubah.

“Disebabkan keadaan yang semakin meruncing di Rafah dan kawasan sekitarnya, Kerajaan Malaysia menggesa semua rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berdaftar dengan badan bukan kerajaan (NGO) agar tidak melakukan perjalanan ke zon konflik.

“Nasihat ini merupakan penekanan terhadap arahan yang telah dikeluarkan semasa mesyuarat antara agensi dengan NGO pada 16 Oktober 2023 dan 23 Januari 2024 di Kementerian Luar,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Wisma Putra menegaskan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kepulangan selamat warga Malaysia.

Semua langkah yang perlu sedang diambil dan pihaknya akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pulang pasukan perubatan tersebut dengan selamat.

Terdahulu, media melaporkan, lapan bulan selepas permulaan perang sejak 7 Oktober tahun lalu, Israel berikrar untuk memperhebatkan serangan daratnya di Rafah walaupun terdapat kebimbangan antarabangsa terhadap ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar selatan itu.

Pengepungan Israel ke atas Gaza menyebabkan kekurangan makanan serta air bersih, ubat-ubatan dan bahan api untuk 2.4 juta penduduknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini