
PETALING JAYA: Pemilik gimnasium di bazar larut malam (Uptown) Kota Damansara yang terjejas akibat kebakaran besar malam tadi, memberitahu asap tebal bermula dari sebuah gerai sebelum merebak hingga ke gimnasiumnya.
Mazalan Abdul Manan, 53 berkata, dia melihat terdapat asap tebal keluar dari kawasan bazar berkenaan, pada jam 8.15 malam.
“Melihat asap itu, saya masuk ke kawasan bazar dan lihat asap itu datang dari sebuah gerai yang terletak berhampiran dengan gimnasium saya,” katanya.
Menurut Mazalan, ketika itu terdapat kira-kira 15 ahli sedang bersenam di dalam gimnasiumnya.
”Ketika api mula marak, mereka turut sama membantu saya untuk mengeluarkan alat senaman lain. Mereka turut membantu peniaga-peniaga berhampiran menyelamatkan barangan perniagaan mereka daripada terbakar,” katanya.
Beliau bersyukur kerana kejadian tidak berlaku pada hujung minggu.
“Setiap minggu kawasan itu amat sesak dengan pengunjung yang datang membeli pelbagai barangan yang dijual peniaga di bazar berkenaan.
“Jalan-jalan di sekeliling bazar berkenaan selalunya akan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, bayangkan jika kejadian ini berlaku pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam, Ahmad Zaidi Safuan berkata, kawasan Uptown Kota Damansara penuh dengan bahan mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas.
Pihaknya terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk memadamkan api.
“Keseluruhan (kawasan) Uptown (Kota Damansara ) ini adalah ‘bahan bakar’, ketika pasukan penyelamat sampai api marak dengan besar dan kita terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran,” katanya.
Menurut Ahmad Zaidi, kawasan kebakaran ini akan ditutup sementara waktu, sehingga siasatan selesai.
Siasatan punca kejadian dijangka selesai esok.