comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayar tunggakan serendah RM300, struktur semula pinjaman PTPTN

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) julung kalinya memperkenalkan Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300 khas untuk peminjam dana pendidikan itu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata kempen ini satu inisiatif khas bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman mereka dengan bayaran awal serendah RM300 saja.

Katanya, kempen berlangsung dua bulan bermula 1 Jun hingga 31 Julai ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.

“Peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 saja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.

“Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur. Selain itu, peminjam boleh membuat rundingan bayaran balik lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini,”katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Norliza berkata, kempen turut menawarkan pelbagai manfaat kepada peminjam antaranya membantu mengurangkan dan mencapai sasaran zero tunggakan, sekali gus memperbaiki rekod kredit peminjam.

“Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amatlah dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada anak-anak generasi akan datang, sekali gus memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.

“Dengan pelbagai usaha dan pendekatan mesra dilaksanakan PTPTN, diharapkan peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik pinjaman dalam tempoh kempen ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kempen ini dan rundingan bayaran balik sama ada pertukaran ujrah, penggabungan atau penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman boleh menghubungi PTPTN melalui saluran seperti Careline PTPTN di 03 – 2193 3000, Live Chat di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my), E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/), Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn) dan media sosial rasmi PTPTN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini