comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayaran BKM Fasa 4 dipercepat mulai Selasa depan

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 kepada 5.2 juta penerima akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula Selasa depan iaitu 15 November dan dijangka selesai pada 18 November.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan mempercepatkan pembayaran BKM itu daripada Disember ini kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan November.

“Pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion ini akan memanfaatkan penerima terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang atau tiada pasangan. Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, untuk BKM Fasa 4, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” katanya.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Loading...
Terkini