comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayaran insentif awal penjawat awam jadi dorongan bekerja satu pasukan 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berharap Bayaran Insentif Awal Penjawat Awam yang diagihkan pada Jumaat ini menjadi dorongan untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.

Beliau berkata, aspirasi Malaysia MADANI tidak akan dicapai tanpa kerjasama, sokongan dan dokongan daripada penjawat awam.

“Kita sebagai penjawat awam harus fokus dalam tanggungjawab sebagai benteng pertahanan terakhir negara, bukan sahaja menyelesaikan masalah dan melaksanakan polisi untuk memenuhi keperluan semasa di negara tetapi juga mencorak masa hadapan dan memenuhi potensi negara yang tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis MADANI Muhibah sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024, di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Selain itu, bantuan sebanyak RM1,000 juga diberikan kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Mengulas lanjut, menurut Nga, aspirasi Malaysia MADANI adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati dan bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain.

Pada masa sama, jelasnya, kerajaan berazam menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara untuk memastikan kehidupan rakyat lebih bermutu menerusi kerangka Ekonomi MADANI.

Antaranya, Malaysia menjadi 30 ekonomi terbesar dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus dan meningkat Indeks Persepsi Rasuah Malaysia di pentas dunia.

“Dalam dunia pasca normal, Malaysia harus bersedia untuk menghadapi kelajuan, skala, skop dan keserentakan; percanggahan yang begitu banyak, kerumitan yang kian bertambah.

“Kita perlu berkemampuan untuk menghadapi kekacauan. Inilah kenapa wujudnya Malaysia MADANI sebagai panduan dan ikhtiar yang holistik, sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini