comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi 5 bulan patah tangan, alami pendarahan dalam kepala ketika di rumah pengasuh

Foto hiasan

CHUKAI: Seorang bayi perempuan patah tangan kiri dan mengalami pendarahan dalam kepala ketika berada di rumah pengasuhnya di Paya Berenjut, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian bayi berusia lima bulan itu dihantar oleh ibunya ke rumah pengasuh terbabit pada pagi kejadian.

Menurutnya, kira-kira jam 11 pagi, pengasuh berusia 29 tahun itu menghubungi ibu mangsa dan mendakwa bayi terbabit mengalami demam.

“Ibu mangsa bergegas ke rumah pengasuh terbabit dan mendapati bayinya itu tidak bermaya sebelum menghantar mangsa ke hospital berhampiran.

“Hasil daripada pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa patah tangan kiri dan mengalami pendarahan dalam kepala,” katanya.

Hanyan berkata, bayi berkenaan itu kini dilaporkan stabil dan berada di wad hospital berkenaan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan sebaik polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1.30 petang.

“Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengetahui punca kejadian termasuk kemungkinan berlakunya pengabaian dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihak polis akan mengambil keterangan daripada pengasuh terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini