Oleh: Kadir Edison
PADAWAN: Tiga wanita termasuk pemilik serta pekerja sebuah taska di Batu Kawa di sini ditahan polis susulan laporan seorang bayi cedera akibat digigit ketika dalam jagaan taska berkenaan.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, laporan mengenai insiden itu diterima daripada ibu bayi berkenaan pada Selasa sekitar jam 9.30 malam.
“Bertindak daripada laporan itu, pihak polis telah menahan tiga wanita iaitu pemilik pusat jagaan atau taska terbabit serta dua penjaga pada jam 7.00 petang semalam (Rabu, 8 Januari),” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Katanya, polis sedang dalam proses melengkapkan siasatan insiden berkenaan sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, ibu bayi terbabit berkongsi anaknya yang berusia lapan bulan mengalami kecederaan dengan beberapa kesan gigitan dibadannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.