comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayi dihempap pokok meninggal dunia

 

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Selepas lebih enam jam bertarung nyawa di hospital, seorang bayi lelaki 17 bulan yang dihempap sebatang pokok tumbang ketika berkelah bersama keluarganya di Pantai Puteri, di sini petang semalam, meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi melalui Facebook rasminya.

“Pada jam 1.30 pagi saya mendapat panggilan daripada Hospital Melaka bahawa adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada pencipta-Nya.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, bayi terbabit ketika itu sedang didukung ibunya manakala bapa dan dua lagi anaknya sedang mandi di pantai.

Ketika mereka sedang berkelah, tiba-tiba sebatang pokok ru tumbang lalu menghempap dua beranak yang berasal dari Selangor itu.

Ia menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke dalam pasir.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung pantai peranginan itu segera memberi bantuan dengan mengorek pasir berkenaan untuk mengeluarkan kepala kedua-dua mangsa yang terbenam.

Difahamkan, ketika dikeluarkan, si ibu berusia lingkungan 30-an mengalami pendarahan di belakang kepala manakala bayinya itu tidak sedarkan diri dipercayai akibat lemas hingga terpaksa dibawa ke Hospital Melaka.

Sementara itu, satu operasi menebang sebahagian pokok ru yang berisiko tumbang kerana telah berusia lebih 23 tahun di pantai itu akan diadakan pagi ini melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sebahagian kawasan pantai peranginan sepanjang 2.5 kilometer berkenaan yang sering menjadi tumpuan pelancong juga akan ditutup sementara daripada sebarang aktiviti perkhemahan dan perkelahan bagi mengelak kejadian berulang. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini