comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi, ibu cedera dihempap pokok ketika berkelah

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia setahun dan ibunya cedera selepas dihempap sebatang pokok ru yang tumbang ketika berkelah di Pantai Puteri petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan manakala dua lagi anaknya dan suami sedang mandi di pantai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang turut berada di tempat kejadian berkata, beliau difahamkan kedua-dua mangsa sedang berkelah selepas hujan sebelum tiba-tiba sebatang pokok ru tumbang dan dahan pada bahagian tengah pokok menghempap dua beranak itu.

“Dahan pokok itu menghempap belakang kepala ibu kanak-kanak itu menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke dalam pasir.

“Kedua-dua mangsa kemudian dibantu orang ramai yang mengalihkan dahan pokok dan mengorek pasir bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Menurut Tuminah, kejadian itu menyebabkan ibu kanak-kanak itu cedera di kepala manakala bayi itu terpaksa dibawa ke Hospital Melaka kerana mengalami gangguan pernafasan.

“Sebenarnya, semua pokok ru di sini sedang dalam tindakan untuk dicantas atau ditebang oleh pihak berkuasa, namun kejadian ini berlaku di luar kawalan.

“Sebagai langkah awal, saya telah berhubung dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu untuk mengambil langkah awal menebang sebahagian pokok ru yang berisiko tumbang kerana sudah berusia lebih 23 tahun,” katanya.

Tambahnya, kawasan berkenaan juga akan ditutup sementara daripada sebarang aktiviti perkhemahan dan perkelahan bagi mengelak kejadian berulang.

Turut sama berada di tempat kejadian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang juga calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Tangga Batu.

Loading...
Terkini