comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayi lelaki 17 bulan maut dipercayai dibelasah rakan ibu

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

BESUT: Seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan disahkan meninggal dunia selepas dipercayai didera rakan ibunya di Kampung Raja dekat sini, semalam.

Susulan itu, ibu kepada bayi malang berkenaan yang berusia 27 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad ibu tunggal itu dipercayai menyerahkan mangsa kepada seorang rakannya untuk dijaga kelmarin kira-kira jam empat petang.

“Bagaimanapun, mangsa dihantar semula kepada ibunya jam 7.30 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kebocoran usus kecil pada bayi itu yang menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Punca kebocoran usus belum dapat dipastikan sama ada disebabkan trauma atau jangkitan kuman.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak- kanak.

Polis kini masih memburu suspek lelaki dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Faiz Che Mat di talian 014-6329916 atau 09-6956222.

Loading...
Terkini