JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki ditemui di dalam kotak sebelum ditinggalkan di belakang kilang kek di Kempas.
Bayi malang baru dilahirkan itu diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pegawai Pembangunan Masyarakat Unit Pembangunan Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, Lily Norliyana Azfar Norli berkata, bayi itu kini berusia empat bulan.
Menurutnya, ketika ditemui di belakang kilang kek Jalan Selasih 8, Kempas, Jalan Kempas Lama, 81200, Skudai, Johor, September lalu, bayi itu masih bertali pusat dan tidak berbaju di dalam sebuah kotak.
Katanya, tiada sebarang dokumen berkaitan bayi atau waris ditemui.
“Mengikut maklumat diperoleh, bayi itu ditemui seorang wanita tempatan berusia 25 tahun.
“Wanita itu terdengar suara tangisan bayi sebelum menemui bayi terbabit. Bayi itu kemudian dibawa pulang ke rumah sebelum laporan polis dibuat,” katanya tadi.
Lily Norliyana berkata, bayi itu kemudian dinamakan sebagai Muhammad Raees Mikhail.
Menurutnya, bayi itu kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) di Kulai, Johor di bawah seksyen 19 (2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris bayi itu boleh menghubungi pegawai pelindung, Nur Aida Masturah Taib di talian 07-6622990 atau 011-21779224,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.