MACHANG: Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 10.45 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 20-an iaitu ibu kepada bayi berkenaan adalah anak angkat kepada pengadu.
“Pengadu memaklumkan, semalam suspek hanya berbaring seharian di atas katil dengan alasan darah haidnya keluar banyak dan dalam kesakitan.
“Bagaimanapun, suspek mengaku bayi yang ditemui adalah anak yang baharu dilahirkannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan terhadap kes ini selesai dijalankan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.