comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi pertama dilahirkan di pusat bersalin di Pulau Tioman

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Seorang bayi lelaki seberat 3.2 kilogram menjadi bayi pertama dilahirkan di Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman di Rompin, pada jam 7:32 pagi hari ini.

Sebelum ini, semua ibu bersalin di Pulau Tioman perlu dirujuk ke Hospital Rompin atau Hospital Mersing, Johor tetapi sejak Februari lalu kemudahan di pusat bersalin itu dinaik taraf hasil kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjumlah RM 2.9 juta.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, berkata keadaan bayi serta ibunya berusia 35 tahun sihat dan stabil dan kini masih ditempatkan di pusat bersalin terbabit.

Menurutnya, ibu bayi itu melalui proses bersalin anak ketika pada usia kandungan 36 minggu dan enam hari.

 

“Kelahiran bayi itu disambut dengan selamat kakirangan terlatih dan kemudahan fasiliti pusat bersalin itu lengkap serta sudah dinaik.” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, perkhabaran gembira itu sudah disembah maklum kepada Al-Sultan Abdullah dan baginda dimaklumkan dan berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga serta bayi itu melalui simpanan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Difahamkan nama bayi berkenaan  belum didaftarkan.

Loading...
Terkini