comscore
Tumpuan :
Nasional

Bazar Ramadan: Pengguna ada kuasa tolak peniaga jual makanan mahal 

PUTRAJAYA: Pengguna mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana peniaga yang menjual makanan pada harga mahal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, walaupun berlaku peningkatan harga makanan di bazar Ramadan, pengguna perlu bijak dan mengguna kuasa menolak peniaga yang menjual pada harga mahal.

“Memang ada aduan (harga makanan) mahal tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pastikan tiada pencatutan atau kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga,” katanya kepada media selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2024 di Presint 14 di sini hari ini.

Beliau berkata pengguna juga mempunyai kuasa menentukan harga pasaran dan tindakan itu akan memaksa peniaga menurunkan harga.

Mengambil contoh harga martabak yang didakwa dijual mahal di bazar Ramadan, Fuziah berkata kenaikan itu tidak dapat dielak memandangkan kos bahan mentah seperti bawang besar dan daging import menyaksikan peningkatan harga.

Beliau berkata KPDN menerima 126 aduan dan 11 kes dibuka, dengan sembilan melibatkan bazar Ramadan dalam Ops Pantau yang diadakan pada dua hari bermula 12 Mac lalu.

Fuziah berkata, daripada sembilan kes di bazar Ramadan, sebanyak lima kes meliputi tidak mempamerkan tanda harga dan empat berkaitan kenaikan harga.

Sementara itu Fuziah berkata, BRR 2024 merupakan kesinambungan kejayaan tahun lepas yang berjaya mengumpul 1,014 peniaga.

Beliau berkata antara kriteria BRR ialah 40 peratus peniaga di lokasi BRR menawarkan menu harga Rahmah dan menggalakkan kadar sewa tapak kepada peniaga.

BRR 2024 melibatkan 64 lokaliti di seluruh negara dengan menawarkan menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan menu tambahan kepada pengunjung.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini