comscore
Tumpuan :
Nasional

Bebaskan rakyat dari ‘perhambaan’, keterlanjuran – PM

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Jemaah Menteri dan penjawat awam untuk membebaskan rakyat serta negara daripada segala keterlanjuran dalam cara kerja dan perkhidmatan yang merugikan.

Beliau berkata, ketika ini cabarannya adalah untuk menyucikan dan mengangkat martabat manusia serta negara.

“Persoalan bagaimana mampu kita mengangkat keupayaan kita ke tahap lebih mulia, tinggi, dan darjat lebih terpuji? Jawapan ada dalam Al-Quran. Kalau dalam kerja, amalan, negara dan jabatan kita, tidak boleh terlepas daripada keikhlasan untuk membebaskan (rakyat).

“Dalam konteks kupasan ulama silam, bebaskan manusia dari perhambaan. Bebaskan rakyat, manusia atau warga dari bentuk penindasan, perhambaan, memperbodohkan rakyat, memiskinkan rakyat dan mengambil harta rakyat sehingga hak mereka tersisih. Ini tugas pertama disebut dalam al-Quran. Kemudian tentu (kebajikan) anak yatim dan golongan miskin,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Bulanan dengan warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI di sini, pagi ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, harus ada kekuatan dan tekad baharu serta semangat dan komitmen bukan sahaja pemimpin politik tetapi seluruh penjawat awam untuk mengangkat martabat, imej dan ekonomi negara sekaligus menjadikan Malaysia Madani.

Pada masa sama, Anwar turut menegur kecuaian di peringkat penguatkuasaan yang menimbulkan keresahan rakyat.

“Kita bebaskan ‘perhambaan’ tapi kalau terpaksa berbaris berjam-jam utk mendapat apa-apa lesen itu, bagi saya perlu diperbaiki. Saya selalu ambil contoh apa kata kalau saya terpaksa berbaris di situ.

“Atau apa dikatakan dalam Kajian Perbendaharaan, Bank Negara, Khazanah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) tentang kadar kemiskinan yang sudah menurun atau miskin tegar sekian peratus. Apa kata kalau keluarga saya dalam kategori itu. Kalau kita lihat dari segi itu barulah maksud bebaskan manusia dari segala bentuk perhambaan, penyahinsanian atau degradasi manusia, itu baru kita boleh beri makna Madani,” katanya.

Loading...
Terkini