Tumpuan :
Nasional

Beberapa daerah di Terengganu, Pahang dijangka terima hujan lebat hingga Rabu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan peringkat jingga dijangka berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Rabu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua daerah di Terengganu iaitu di Dungun dan Kemaman dijangka mengalami hujan berterusan.

“Selain itu, lima daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin turut dijangka mengalami cuaca sama.

“Hujan berterusan peringkat kuning juga dijangka berlaku di Perlis, Kelantan dan Hulu Perak, Perak,” katanya.

Menurutnya, hujan berterusan peringkat kuning juga dijangka berlaku di Kedah membabitkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

“Selain itu, cuaca sama dijangka berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang, manakala di Pahang, ia membabitkan daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera serta Tanah Tinggi Cameron.

“Sementara itu, di Johor iaitu daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi turut diramal cuaca sama,” katanya.

Terdahulu, MetMalaysia melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai hari ini hingga 14 Disember ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini