comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa laluan ditutup pada Hari Penamaan Calon esok

KUALA LUMPUR: Polis Daerah Ampang Jaya, akan menutup beberapa laluan menuju ke dua Pusat Penamaan Calon, dalam daerah berkenaan Sabtu ini.

Penutupan jalan bermula jam 6 pagi itu bagi membolehkan proses penamaan calon bagi Parlimen Ampang (P099) dan Parlimen Pandan (P100) berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata penutupan jalan akan dilakukan sehingga proses penamaan calon selesai.

“Penamaan calon P099 akan dijalankan di Dewan Dato Ahmad Razali dan jalan yang akan ditutup adalah membabitkan laluan dari arah Jalan Ampang-Lembah Jaya iaitu bermula dari persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu sehingga ke persimpangan lampu isyarat Bandar Baru Ampang.

“Bagi laluan dari arah Jalan Ampang-Kuala Lumpur, jalan yang akan ditutup bermula dari persimpangan lampu isyarat Bandar Baru Ampang sehingga ke susur keluar Jalan Merdeka, manakala Jalan Chengal ditutup sepenuhnya,” katanya.

Mohamad Farouk berkata kenderaan ringan yang datang dari arah Kuala Lumpur akan dilencongkan masuk ke Jalan Merbau-Jalan Pinang-Jalan Ampang manakala kenderaan dari arah Lembah Jaya akan dilencongkan masuk ke Jalan Wawasan 4/2-Jalan Merdeka-Jalan Mewah-Jalan Cahaya 1-Jalan Besar Cahaya.

Beliau berkata laluan berhampiran Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Jalan Pandan Ilmu turut ditutup pada tarikh dan waktu yang sama bagi membolehkan proses penamaan calon Parlimen Pandan, P100 berjalan lancar.

“Laluan berhampiran Dewan MPAJ yang akan ditutup membabitkan kedua-dua arah Jalan Pandan Ilmu-Jalan Bunga Raya bermula dari simpang masuk ke Jalan Pandan Indah 2/3 sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Raya.

“Turut ditutup simpang keluar Jalan Kencana 1, simpang keluar dari Jalan Pandan Indah 3/6, simpang Jalan Pandan Indah 3/4, simpang keluar Jalan Pandan Indah 3/4d dan simpang keluar Jalan Pandan Indah 3/4e,” katanya.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, diberikan amanah untuk membuat penutupan Jan dan lencongan kenderaan di beberapa laluan yang difikirkan perlu bagi menjamin keselamatan di sepanjang proses penamaa calon berlangsung.

Semua pengguna jalan raya yang akan melalui jalan-jalan yang akan ditutup pada tarikh dan masa yang dinyatakan adalah dinasihatkan supaya merancang perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi hotline Trafik IPD Ampang Jaya di talian 03-92740112. – Buletin TV3

Loading...
Terkini