comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa negeri bersedia urus pengangkutan mahasiswa pulang mengundi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Beberapa negeri di Semenanjung sudah mempersiapkan kemudahan pengangkutan untuk membawa mahasiswa pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Eksekutif Pembangunan Mahasiswa, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Adli Jamiri, berkata terdapat beberapa negeri yang sedang berbincang mengenai prosedur membawa mahasiswa pulang mengundi.

“Setakat ini, Terengganu, Pahang dan Kelantan akan membawa pulang mahasiswa penduduk negeri itu daripada kampus universiti menggunakan bas. Beberapa negeri lain juga dalam proses untuk membincangkan prosedur bagi membawa mahasiswa pulang.

“Bagi mahasiswa daripada Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung pula masih belum ada lagi inisiatif terbaik untuk membawa mereka pulang,” katanya.

Mohammad Adli berkata, mahasiswa turut dibenarkan untuk berkempen tetapi tidak boleh melepasi garis panduan yang ditetapkan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang dipinda.

“Mahasiswa dibenarkan untuk turut sama berkempen tanpa mengira calon parti yang disokong. Tiada halangan kepada mereka, cuma mereka perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti.

“Mereka juga tidak boleh mengajak rakan untuk membawa sepanduk dan berkempen dalam universiti. Sokongan secara terang-terangan dan ekstremis tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Sayangi Kinrara dan Pemuda Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur (SKLHA) menawarkan perkhidmatan bas secara percuma kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur untuk pulang mengundi pada 18 November ini.

Lokasi ditawarkan itu merangkumi Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Johor.

Bagaimanapun, perkhidmatan berkenaan ditawarkan tertakluk kepada kekosongan tempat kerana kerusi akan diberikan kepada mereka yang tiba awal.

Loading...
Terkini