comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Beberapa syarikat tiada `track record’ dibawa untuk MoU bersama China  – Johari Ghani

 

KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu sebelum ini,  tidak mempunyai laluan rekod mencukupi.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani  ketika meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperjelaskan sama ada proses tapisan dilakukan terlebih dahulu terhadap semua syarikat yang terbabit dalam MoU dengan nilai keseluruhan RM170 bilion itu.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri ada membuat lawatan ke China dengan menyaksikan 19 MoU yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan dan juga syarikat China yang berjumlah dijangka RM170 bilion.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

“Soalan saya adakah MITI atau MIDA telah melakukan tapisan syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri untuk menyaksikan menandatangani MoU tersebut.

“Ini kerana saya nampak daripada 19 MoU, ada beberapa syarikat yang saya nampak tidak mempunyai ‘track record’ (laluan rekod) untuk kita persembahkan kepada sebuah negara seperti China yang merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia,” katany pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Johari pada masa sama turut meminta penjelasan  MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

“Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa (masuk dalam negara), kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” katanya.

Menjawab soalan Johari, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata MoU ditandatangani itu akan dipantau jawatankuasa secara khusus, dengan MIDA juga udah melakukan proses biasa dalam menilai syarikat-syarikat itu.

“Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu melibatkan lima kriteria.

“Kriteria kita menerima pelabur asing atau apa sahaja pelaburan ialah meningkatkan kemampanan ekonomi untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

“Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah ‘dashboard’ kita untuk memantau apa (pelaburan) yang kita terima,” jawabnya.

Loading...
Terkini