SHAH ALAM: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan membabitkan kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta dekat Ampang Point, Ampang Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kejadian itu hanya membabitkan kecuaian dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Beg (berisi wang tunai) itu terjatuh. Kita tak dapat kesan sebarang unsur jenayah termasuk mencuri atau merompak wang tersebut.
“Berpandukan keterangan saksi dan kamera litar tertutup (CCTV), kita nampak pintu belakang van syarikat keselamatan itu terbuka ketika melalui satu selekoh.
“Jadi ada sedikit kecuaian dari segi menutup pintu van itu,” katanya sidang media di MES Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, beg berisi wang tunai itu diambil dari sebuah bank dekat Ampang Point dan dibawa menggunakan sebuah van syarikat kawalan keselamatan untuk ke sebuah lagi bank di Kuala Lumpur.
Katanya, kejadian itu (pintu belakang van terbuka) tidak disedari pengawal keselamatan yang bertugas sebelum beg berkenaan ditemui orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.
“Kertas siasatan berkaitan kes ini diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Sebelum ini dua pengawal keselamatan masing-masing seorang lelaki dan wanita berumur 52 tahun dan 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kehilangan beg berisi wang tunai terbabit sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, polis memaklumkan beg berisi wang tunai berkenaan yang dilaporkan hilang, ditemui pada hari yang sama di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati wang berkenaan ditemui oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.