comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan Air Di 100 Kawasan Terjejas Di JB Pulih Berperingkat

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Gangguan bekalan air yang berlaku di 100 kawasan dalam 10 zon di daerah ini dan Kota Tinggi selama antara 10 hingga 14 jam pulih secara berperingkat mulai tengah hari tadi.

Seorang penduduk di Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya, Chitra Talan, 44, berkata walaupun bekalan air tidak pulih sepenuhnya, namun penduduk lega apabila mula menerima bekalan sejak jam 1 tengah hari ini.

Menurutnya, berikutan gangguan itu berlaku secara mengejut atau tidak dirancang, penduduk juga tidak berpeluang untuk menyimpan air secukupnya hingga keadaan itu menimbulkan kesulitan.

“Sehingga tengah hari ini saya tidak dapat masak, mandi mahupun membasuh kain kerana tiada bekalan air.

“Kami lega bekalan sudah ada walaupun tekanan air kasih rendah, sekurang-kurangnya ia boleh digunakan ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Roslan Kamis, 52, berkata gangguan bekalan yang agak lama untuk dipulihkan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk terutama jemaah surau dan masjid.

Beliau berkata, ia berikutan buat sementara, mereka kasih boleh bergantung kepada bekalan air tangki namun apabila tempoh masa gangguan lebih lama, jemaah juga berdepan kesulitan.

“Kami faham mungkin kerja baik pulih memakan masa namun perlu ada suatu sistem bagi mengatasi gangguan seumpama ini pada masa depan kerana bekalan air amat penting bagi kegunaan harian.

“Begitu juga bagi penduduk, mereka seharusnya menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya bagi menampung keperluan bagi beberapa jam,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Air Johor, Ranhill SAJ, menerusi kenyataan media menyatakan bahawa bekalan elektrik ke loji rawatan air (LRA) Sungai Johor sudah pulih.

Katanya, LRA berkenaan sudah beroperasi dan proses rawatan air sudah mulai dijalankan.

“Ranhill SAJ giat menjalankan proses pemulihan bekalan dan pengguna mula menerima bekalan air secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata kerja baik pulih bekalan elektrik sudah dilakukan di LRA berkenaan.

Sebahagian penduduk di kira-kira 100 kawasan dalam 10 zon di daerah Johor Bahru berdepan masalah gangguan bekalan air tidak terancang sejak petang dan malam semalam.

Malah situasi sama juga dialami penduduk di sebuah kawasan di daerah Kota Tinggi.

Gangguan itu berlaku berikutan operasi LRA Sungai Johor yang berhenti beroperasi sementara akibat gangguan bekalan elektrik.

Antara 10 zon terjejas adalah Tiram, Austin, Tebrau, Kempas, Skudai, Tampoi, Perling dan Bukit Indah, Iskandar Puteri serta Stulang membabitkan kira-kira 104 kawasan.

Zon Kota Tinggi juga turut terjejas membabitkan kawasan Taman Sri Saujana. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini