comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air di 28 kawasan di Selangor pulih sepenuhnya 6 pagi esok

Foto hiasan

SHAH ALAM: 28 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual di wilayah Shah Alam, Petaling dan Klang di Selangor sejak malam semalam, dijangka pulih sepenuhnya jam 6 pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Budiman, Seksyen 22 dekat sini selesai pada jam 5.30 pagi, hari ini.

“Air Selangor ingin memaklumkan berkenaan status terkini pemulihan bekalan air berikutan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah. Bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna.

“Sehingga jam 6 petang ini, peratusan pemulihan bekalan air dijangka pada tahap 82.63 peratus dan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi esok,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Jelasnya, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada beberapa faktor berikut, iaitu tekanan air pada sistem agihan bekalan air, faktor muka bumi serta jarak jajaran paip dan jarak lokasi premis pengguna.

Antara kawasan yang dijangka mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual adalah Bandar Putra Height; Seksyen 28; Kampung Bukit Lanchong; Seksyen 32 (Bukit Naga, Bukit Rimau, Jalan Bukit Rimau, Taman Desa Kemuning); Pinggiran Subang USJ 3: Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga); Seksyen 25 (Axis, Lembayung); Seksyen 33; Seksyen 26; Seksyen 26; Seksyen 27; Sekyen 34; Taman Sentosa dan Taman Subang Mas.

Kawasan lain Taman Pinggiran USJ (Pinggiran USJ 1 & 2; Taman Pinggiran USJ (Pinggiran USJ 3); Taman Perindustrian UEP -TP 7; USJ 3A; USJ 3B; USJ 3C; USJ 3D dan USJ Height.

“Air Selangor juga menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https:// www.airselangor.com/,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini