comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air di Pulau Pinang pulih 60 peratus

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Nasir

Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI DUA: Bekalan air di Pulau Pinang telah pulih 60 peratus merangkumi lima daerah, manakala daerah Barat Daya merupakan satu-satunya daerah yang masih terputus bekalan air sepenuhnya setakat petang tadi.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Nasir berkata kemajuan itu dicapai setelah kerja-kerja penyelenggaran air telah siap lebih awal daripada dijadualkan.

Menurut Akmal, proses penggantian dua injap kawalan di Loji Rawatan Air (LRA) telah selesai sepenuhnya malam semalam.

Manakala, 21 daripada 22 kerja-kerja pembaikan sampingan di lokasi lain juga telah siap dilaksanakan.

Sehubungan itu, bekalan air yang dijadualkan hanya dapat disambung semula pada pagi esok telah mula disalurkan sejak awal pagi tadi di beberapa kawasan secara berperingkat.

“Daripada jumlah 590,000 akaun pengguna yang terjejas hampir 60 peratus akaun telah pulih menerima bekalan seperti sedia ada.

“Ia merangkumi 350,000 akaun, tetapi ada lagi kawasan yang masih terjejas.

“Kita akan menghantar bekalan air ke kawasan terbabit untuk menampung keperluan air,” katanya selepas melawat LRA Sungai Dua di Tasek Gelugor, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Charles Santiago, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K.Pathmanathan serta barisan pengurusan PBAPP.

Katanya, Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut telah mula menerima air secara berperingkat, namun sambungan sepenuhnya akan mengambil masa.

Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaran yang masih belum selesai di Sungai Perai menyebabkan daerah Barat Daya masih terputus bekalan air sebanyak 95 peratus.

Menurut  K.Pathmanathan, selagi kerja-kerja penyelenggaran di Sungai Perai tidak selesai, tempoh 96 jam yang ditetapkan bagi pemulihan air ke daerah Barat Daya akan kekal.

“Keseluruhan kawasan daerah Barat Daya tidak ada air setakat ini.

“Sambungan air di kawasan itu sekarang hanya 5 peratus, masih terputus sebahagian besar.

“Sebab itu diarahkan semua aset ke Barat Daya, menumpukan penuhi keperluan air di sana,” katanya lagi.

Jelasnya, semua aset pembekalan air yang tidak lagi diperlukan di daerah lain akan dikerahkan ke daerah Barat Daya untuk menampung keperluan air pengguna di kawasan terbabit.

Ia termasuk sebahagian besar dari 96 lori tangi air yang telah disediakan sebelum ini bagi memastikan bekalan air tidak terputus sehingga saluran air disambung semula.

Loading...
Terkini