JASIN: Bekalan telur ayam bagi keperluan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kelak dijamin mencukupi selepas 21.5 juta biji bahan makanan itu diedarkan ke seluruh negara sehingga semalam.
Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, ia termasuk pertambahan bekalan telur gred AA, A dan B yang dikatakan berkurangan di beberapa negeri terutama di Pantai Timur baru-baru ini.
“Kita (FAMA) selalu berhubung dengan pembekal, apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu tempat, kita akan berbincang dengan mereka dan bekerjasama dari segi kuota untuk meningkatkan bekalan.”
Tambahnya lagi, isu kekurangan bekalan telur di Pantai Timur berpunca daripada ketiadaan ladang besar untuk menampung permintaan pengguna.
“Kekurangan lebih di Pantai Timur disebabkan tiada ladang yang besar untuk menampung tiga negeri yang utama, Kelantan, Terengganu dan Pahang.”
Kata beliau, Melaka dipertanggungjawab untuk melaksanakan program intervensi sejak November lalu bagi memastikan bekalan telur di seluruh negara mencukupi.
Tambahnya lagi, Melaka menjadi pembekal utama telur negara melalui enam ladang ternakan ayam terbesar di negeri berkenaan.
Beliau bercakap kepada media selepas melancarkan program Jualan Terus dari Ladang (JTDL), Ramadan Madani di Pasar Tani Merlimau, Melaka hari ini.