comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan gula untuk Aidiladha mencukupi

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan gula menjelang sambutan Aidiladha pada hujung Jun ini mencukupi.

Timbalan Menterinya Fuziah  Salleh berkata pihak kementerian telah mengarahkan dua kilang terbesar negara iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mengeluarkan bekalan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong.

“Kedua-dua kilang itu telah diarahkan untuk keluarkan bekalan gula seperti biasa iaitu masing-masing 24,000 dan 18,000 tan metrik,” katanya.

Menurut Fuziah, pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan kawalan pengeluaran membabitkan jumlah gula yang dikeluarkan dan yang dihantar kepada pemborong.

Fuziah ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah syarikat pemborong gula di sini hari ini.

Lawatan itu bertujuan memantau status bekalan gula di Terengganu yang didakwa mengalami kekurangan kritikal sejak akhir Ramadan lalu.

Tambah Fuziah, KPDN juga melanjutkan tempoh Op Manis yang sepatutnya tamat semalam kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi terutama menjelang tempoh perayaan.

Menurutnya operasi yang dilaksana di Kelantan dan Terengganu sebelum ini telah diperluas ke seluruh negara berikutan terdapat aduan kes di beberapa negeri lain.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.

Loading...
Terkini