
KUCHING: Bekas anggota Kabinet Sarawak, Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas itu diumumkan ahli keluarga terdekatnya menerusi satu notis di media sosial, hari ini.
Menurut notis itu, mayat mendiang ditempatkan di kediamannya di Jalan Kedandi, Lorong 8, Tabuan Dusun, di sini dan dijadual disemadikan pada Isnin ini.
Mendiang menjadi ADUN Katibas selama 42 tahun selepas memenangi kerusi itu ketika berusia 26 tahun pada pilihan raya negeri 1979.
Kecemerlangan beliau di kawasan yang diwakilinya terbukti apabila menang tanpa bertanding pada pilihan raya negeri 1996 dan 2001.
Selepas sekian lama berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau mengambil keputusan berundur pada pilihan raya negeri 2021 seterusnya bersara dari politik.
Beliau pernah memegang jawatan Menteri Muda Perancangan Sumber, Menteri Muda Kewangan, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Awam.
Manakala di peringkat parti, beliau pernah diberi tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).