comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas banduan curi kereta, ceroboh rumah dan kurung sekeluarga dicekup ketika lena tidur

Oleh: Fazli Ahmad

BENTONG: Suspek kes curi kereta di sebuah stesen petrol di Semambu, Kuantan, Isnin lalu berjaya dicekup pihak polis awal pagi tadi.

Suspek yang juga bekas banduan itu ditahan selepas menceroboh sebuah rumah dan mengurung lima sekeluarga dalam bilik di Kampung Cinta Manis di Karak, dekat sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan selepas pihak polis menyerbu rumah tempat suspek bersembunyi kira-kira jam 12:45 pagi Rabu.

Menurut Yahaya, suspek menceroboh rumah terbabit kira-kira jam 10 malam dan mengarah sepasang suami isteri serta tiga anak mereka berusia antara tiga dan 12 tahun duduk di dalam sebuah bilik.

“Suspek mengurung keluarga terbabit dan dia tidur di ruang tamu rumah berkenaan,”

“Keluarga terbabit memaklumkan kehadiran suspek kepada polis dan susulan itu rumah berkenaan diserbu dan lelaki terbabit ditahan di ruang tamu ketika tidur,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kereta Honda City yang dicuri suspek ditemui semula kira-kira 10 kilometer dari lokasi lelaki terbabit ditangkap.

Suspek diburu polis selepas sebuah kereta dicuri di stesen minyak di Semambu, Kuantan pada 3:10 petang Isnin lalu.

Kejadian berlaku ketika tiga sekeluarga dari Sentul, Kuala Lumpur singgah di stesen minyak terbabit untuk ke tandas dan kejadian itu turut tular di media sosial.

Yahaya berkata, dalam serbuan itu juga polis merampas pisau, gunting, sarung kepala, tiga telefon bimbit dan dua jam tangan.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek membawa polis ke Karak kira-kira 10 kilometer dari lokasi lelaki terbabit ditangkap dan menemui semula kereta Honda City dicuri penjenayah terbabit.

Berdasarkan rekod, bekas banduan terbabit dibebaskan dari penjara tahun lalu dan pernah lari dari Lokap Berpusat Indera Mahkota, Kuantan pada 2019 ketika ditahan untuk siasatan kes dadah.

Suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah disahkan positif dadah kini direman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut sesyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta dan motosikal.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 488 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kediaman serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini