comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas guru besar dipenjara sehari, denda RM10,000

Kamaludin dipenjara satu hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM :  Seorang bekas guru besar  mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap pertuduhan rasuah berkaitan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf bangunan serta infrastruktur Sekolah Rendah Agama (SRA) di daerah Petaling dan Kuala Selangor pada 2019.

Berikutan itu, Hakim Datuk Anita Harun  memerintahkan tertuduh Kamaludin Sahlan, 51, dipenjara sehari dan denda RM10,000

Hakim turut memerintahkan Kamaludin dihukum penjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Kamaludin dituduh secara rasuah meminta daripada seorang lelaki suapan sebanyak 11 peratus daripada nilai projek sebagai dorongan baginya membantu individu itu mendapatkan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf bangunan serta infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Kamaludin juga mengaku melakukan rasuah dengan menerima wang berjumlah RM164,800 menerusi akaun bank miliknya daripada lelaki terbabit atas tujuan sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang dan cawangan bank di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini antara Mei 2019 hingga 21 April 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira pengakuan tertuduh dengan menjatuhkan hukuman bagi kesalahan kedua bersekali dengan pertuduhan pertama.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan berkata Kamaludin sangat menyesal serta insaf atas kesalahan yang dilakukannya dan memohon hukuman ringan kerana anak guamnya bukan sahaja akan dipenjara serta didenda malah turut kehilangan pekerjaan dan pencen.

Mahkamah memerintahkan wang berjumlah RM100,000 dalam sebuah akaun bank milik seorang lelaki berkaitan kes itu dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia selain wang jaminan RM30,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Loading...
Terkini