comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas hakim syariah, polis nafi terima rasuah

Burhanuddin Ismi (kanan) dan Muhamad Hamri mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini. – Foto: NSTP

IPOH: Bekas Hakim Mahkamah Syariah dan anggota polis  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini masing-masing atas tuduhan menerima rasuah serta bersubahat dalam hal menjatuhkan hukuman kepada pesalah khalwat, empat tahun lalu.

Tertuduh, bekas Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Burhanuddin Ismi Adam, 43, dan Muhamad Hamri Ayob, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Ahmad Kamar Jamaludin.

Burhanuddin Ismi didakwa secara rasuah menerima untuk diri sendiri suapan RM4,000 daripada Muhammad Afiq Abd Majid, 39, sebagai dorongan untuk dia membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada Muhammad Afiq berkaitan kes mengikut Seksyen 54(1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 (khalwat).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Chemor Saujana, Desa Chemor Saujana, di sini kira-kira jam 11.30 malam pada 10 September 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Bagi pertuduhan ke atas Muhamad Hamri pula, dia didakwa bersubahat dengan Burhanuddin Ismi yang secara rasuah meminta suatu suapan  RM4,000 daripada Muhammad Afiq sebagai dorongan untuk Burhanuddin Ismi membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada Muhammad Afiq.

Muhamad Hamri didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran makanan segera di Jalan Kuala Kangsar, Taman Tasek Mutiara, di sini  jam 5.30 petang pada hari sama.

Pertuduhan ke atas Muhamad Hamri dibaca mengikut Seksyen 28(1)(c) yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta  sama.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 seorang dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes pada 19 Jun depan .

Sebelum itu, ketika dalam kandang tertuduh, Burhanuddin Ismi memohon jumlah jaminan dikurangkan, mengambil kira dia sedang ditahan kerja susulan kes itu yang menyebabkan gaji bulanannya hanya dibayar separuh selain menyara tiga anak termasuk seorang daripadanya  orang kurang upaya (OKU).

Muhamad Hamri turut memohon jumlah jaminan terhadapnya dikurangkan kerana turut ditahan kerja sebagai polis dan kini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,500 selain menanggung empat anak.

Hakim bagaimanapun tidak mempertimbangkan rayuan mengurangkan nilai jaminan kedua-dua tertuduh .

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang dikenakan.

Loading...
Terkini