comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas Ketua Perangkawan meninggal dunia

Foto: Jabatan Perangkaan Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Perangkawan, Datuk Shaari Abdul Rahman, meninggal dunia semalam.

Allahyarham yang pernah memegang jawatan itu bermula 16 September 1995 hingga 2004 akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah 11, Sungai Buloh hari ini.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai Perangkawan pada 1 Mei 1971 dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Banci pada 2000.

Antara usaha yang dipelopori oleh Shaari ketika berkhidmat di jabatan itu adalah memperkukuh perkhidmatan melalui pengukuhan peranan Jabatan Perangkaan (DOSM) negeri sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data.

Dalam tempoh itu, Allahyarham juga memperkenalkan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam prosesan dan penghantaran data secara dalam talian melalui Protokol Pemindahan Fail (FTP) daripada DOSM negeri ke ibu pejabat.

Selepas bersara pada 19 September 2004, Allahyarham yang juga Ketua Perangkawan keempat, meneruskan khidmat sebagai penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik.

Pada masa ini, Allahyarham adalah Ahli Lembaga Pengarah kepada empat anak syarikat FELCRA.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Shaari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini