Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusof, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 46 tuduhan menerima suapan berjumlah RM70,600.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Dua jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir sejam untuk membaca kesemua 46 pertuduhan.
Tertuduh, didakwa menerima suapan antara RM100 dan RM5,600 secara dalam talian antara Mac 2019 hingga Januari 2023.
Semua suapan didakwa diterima daripada beberapa pengusaha pusat urut bagi mengelak dikenakan tindakan.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi.
Tertuduh diwakili dua peguam diketuai Datuk Bob Arumugam.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga perbicaraan kes selesai.
Tertuduh juga dilarang menganggu saksi.
Pengurusan kes ditetapkan 15 November depan.