comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas pekerja swasta rugi lebih RM130,000 ditipu sindiket kerja dalam talian

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengurus sumber manusia sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM137,250 selepas mendakwa ditipu sindiket tawaran pekerjaan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kelmarin, pihaknya menerima laporan dibuat wanita tempatan berusia 48 tahun itu yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan selepas menerima tawaran kerja dalam talian yang diiklankan di laman sosial Facebook pada Ogos lalu.

“Pengadu mendakwa dia dijanjikan komisen antara lima peratus hingga 25 peratus dariapda modal yang dibayar bagi setiap tugasan yang disempurnakan.

“Pengadu hanya perlu mengikut arahan individu yang bertindak sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan dalam satu kumpulan Whatsapp.

“Pengadu diminta mendaftar di aplikasi ‘Gmarket’ dan sekiranya ada tempahan barang dalam aplikasi itu, pengadu perlu membuat bayaran menggunakan wangnya dahulu dan akan dibayar semula bersama komisen selepas transaksi jualan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi berkata, pengadu kemudian diarahkan membuat bayaran dengan cara menukar mata wang Ringgit Malaysia kepada mata wang digital melalui beberapa aplikasi dan kemudian memindahkan pula wang ke akaun e-wallet yang akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan itu.

“Pengadu yang tertarik dengan komisen yang tinggi dan tugasan yang mudah telah membuat 24 kali transaksi tukaran mata wang Ringgit Malaysia ke mata wang digital melalui tiga aplikasi berbeza keseluruhannya berjumlah RM137,250.

“Pengadu kemudian memindahkan wang itu pula ke beberapa akaun e-wallet untuk menyelesaikan 38 tugasan jualan,” katanya.

Menurut Mohd Sohaimi, pada awalnya, pengadu tidak mengesyaki apa-apa kerana melihat transaksi kemasukan semula wang modal berserta komisen dalam aplikasi ‘Gmarket’.

Namun, katanya, pengadu mula rasa ditipu apabila suspek meminta pengadu membuat beberapa lagi bayaran atas pelbagai alasan ketika dia hendak mengeluarkan wang dari aplikasi berkenaan.

“Pengadu kemudian tampil membuat laporan polis untik tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

“Siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan komisen yang tinggi dalam masa yang singkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini