comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar maut akibat ditetak

Yusharifuddin Mohd Yusop menunjukkan kesan darah pada kereta jenis Proton Iriz milik mangsa.- Foto: NSTP

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar Ilias disahkan meninggal dunia akibat ditetak menggunakan sebilah pedang di hadapan simpang masuk sebuah taman di Jalan Datuk Ali, di sini sekitar jam 11.30 malam, pada Selasa.

Mangsa yang mengalami pendarahan teruk dengan 12 kesan tetakan pada badan, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah pada jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian dipercayai bermula akibat perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang dikenalinya.

“Sebelum pergaduhan berlaku pada kira-kira jam 9 malam, mangsa didapati dalam keadaan marah pergi ke rumah suspek pertama, namun lelaki itu tiada di rumah.

“Dalam perjalanan pulang, mangsa bertembung dengan suspek pertama dan suspek kedua yang berusia 28 tahun di hadapan simpang masuk kawasan perumahan itu lalu berlaku pertengkaran yang berakhir dengan pergaduhan.

“Tidak lama kemudian, suspek ketiga berusia 31 tahun, iaitu anak kepada suspek pertama datang, namun polis masih merungkai tujuannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Foto: NSTP

Siasatan kini menjurus kepada motif kejadian dan siapa pemilik pemilik pedang sepanjang 112 sentimeter yang digunakan dalam pergaduhan dipercayai berterusan selama hingga 1 jam itu.

Menurut Yusharifuddin, hasil laporan bedah siasat mendapati terdapat satu kesan tetakan pada tangan kanan mangsa dan tiga kesan tetakan pada tangan kirinya selain tujuh hingga lapan kesan tetakan pada bahagian depan dan belakang badan mangsa.

Selain itu, terdapat kesan darah pada kereta jenis Proton Iriz milik mangsa serta retakan pada cermin hadapan dan lampu hadapan yang turut pecah.

Rampasan polis melibatkan telefon, perakam video digital dan sebilah pedang.

“Difahamkan, suspek pertama dan kedua turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan kepala.

“Ketiga-tiga suspek yang mempunyai antara 5 hingga 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam, di beberapa lokasi berasingan,” jelasnya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hingga Selasa depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Hasil saringan air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis benzo manakala ujian ke atas dua lagi suspek adalah negatif.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini