comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas pengawal keselamatan koma dibelasah warga Myanmar, meninggal dunia.

FOTO: Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang bekas pengawal keselamatan tempatan yang koma dipercayai dipukul enam lelaki warga Myanmar hampir sebulan lalu, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, di sini petang semalam.

Mangsa, E. Murali Kuppusami, 50, menghembuskan nafas terakhir di hadapan semua enam anaknya selepas dimasukkan ke hospital sejak 31 Oktober lalu, pada jam 5.57 petang.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa.

Ekoran itu beliau berkata, enam warga Myanmar yang disiasat dengan kesalahan mencederakan bekas pengawal keselamatan itu akan dipinda kepada kesalahan membunuh.

“Mangsa kes ini yang sebelum ini parah dan koma disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di ICU Hospital Melaka pukul 6.57 petang semalam.

“Sehubungan itu, kita akan rujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan meminda kes daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan kepada Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jumaat lalu, enam pekerja kilang warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas dua pertuduhan membelasah dua beranak dengan kayu hingga menyebabkan seorang daripada mangsa koma.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kyaw Swar Tun, 21, Win Zaw, 30, Zin Min Htet, 23, Nyi Lin Paing, 23, Aung Myint Thein dan Mya Soe, 33, kerana kesemua mereka gagal memahami Bahasa Melayu.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama-sama telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M.K Daniel, 19, dan bapa mangsa, Murali Kuppusam dengan menggunakan objek kayu iaitu alat yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.40 malam di Pangsapuri Taman Tasek Utama dalam Daerah Melaka Tengah, pada 31 Oktober 2022.

Difahamkan dua beranak itu dikatakan dibelasah teruk selepas menegur tertuduh agar tidak membuat bising di pangsapuri berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Disember ini bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar dan tiada jaminan ditawarkan.

Loading...
Terkini