comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas pereka sambilan bebas tuduhan hendap jurugambar wanita

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan bekas pereka sambilan, Mohamad Safiq Rosli, 37 tahun, atas tuduhan menghendap seorang jurugambar wanita, Acacia Mardiana Daud dengan menghantar gangguan berulang kali melalui aplikasi X.

Majistret Sasha Diana Sabtu membuat keputusan itu, selepas mendapati tertuduh menghidap penyakit mental iaitu Skizofrenia serta tidak sedar perbuatan yang dilakukan bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

“Berdasarkan keterangan laporan psikiatri membuktikan tertuduh tidak waras ketika melakukan kesalahan itu, OKT tak tahu dia lakukan kesalahan. Selaras dengan Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah OKT dilepas dan dibebaskan,” katanya ketika membacakan keputusan itu.

Sehubungan itu mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan dalam tahanan selamat iaitu di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.

Terdahulu Acacia sewaktu prosiding sebelah pagi memaklumkan mahkamah, dirinya mengalami trauma akibat gangguan teruk tertuduh sehingga menjejaskan aktiviti harian dan kerjayanya.

“Kesan daripada gangguan dan hendap lelaki ini, saya mengalami trauma teruk dan rasa takut terhadap keselamatan saya sehingga saya tak berani keluar hingga meganggu kerja, aktiviti seharian dan masa depan saya. Saya hidup dalam ketakutan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas.

Turut memberi keterangan, Pegawai Penyiasat IPD Petaling Jaya, ACP Mohamad Hafizi Ismail dan pakar perubatan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun X ‘@sopert99’ secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, dengan menghantar komunikasi kepada akaun X ‘@ShaFoShizzle’ yang dibaca di sebuah rumah di Shah Alam.

Tertuduh sepatutnya tahu bahawa gangguan dilakukan jam 1.40 pagi pada 15 Julai hingga 5.58 petang 21 Julai lalu itu boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 507 A (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 507 A (3) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh pada Ogos lalu menjadi individu pertama didakwa mengikut seksyen tersebut selepas akta berkenaan dikuat kuasakan tahun ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini